PEMBERSIHAN KEDIAMAN
1. Tempat kediaman hendaklah sentiasa bersih dan kemas supaya kesihatan dan keselamatan setiap ahli keluarga terjamin.
2. Tugasan pembersihan boleh dijadikan aktiviti keluarga. Ia dapat memupuk semangat kerjasama dan kekeluargaan.
3. Pembersihan tempat kediaman boleh dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu :
a) pembersihan harian
- tugasan yang dibuat setiap hari.
-ia melibatkan kerja ringan dan boleh diselesaikan dalam masa yang singkat.
-contohnya menyapu lantai, membuang sampah, mencuci pinggan mangkuk, mengemas katil, mengemas meja, mencuci pakaian dan melipat pakaian.
b) pembersihan mingguan
-tugasan yang dibuat pada hujung minggu.
-ia memerlukan masa dan tenaga yang lebih banyak.
-contohnya mengelap tingkap, perabot, barang hiasan, mengemop lantai, menukar cadar dan sarung bantal, membersihkan bilik mandi dan tandas, membersihkan peti sejuk, serta menjemur permaidani.
c) pembersihan berkala
-tugasan yang dibuat sekali-sekala sahaja mengikut keperluan.
-ia memerlukan masa dan tenaga yang banyak.
-ia dibuat secara gotong-royong.
-contohnya lampu, kipas, kekisi, menggilap perabot, membuang sawang, menggilap lantai, mengemas serta membersihkan stor dan almari.
ALATAN DAN AGEN PENCUCI
1. Alat dan agen pencuci boleh menjimatkan masa untuk kerja pembersihan dan juga memudahkan proses mencuci.
2. Alatan dan agen pencuci harus digunakan secara berhati-hati kerana penggunaannya yang tidak betul akan merosakkan alatan dan kelengkapan yang berkenaan.
3. Agen pencuci digunakan untuk membuang kotoran dan mengeluarkan tanda-tanda degil pada permukaan seperti meja, sinki dan lantai.
4. Berikut ialah alatan pencuci dan kegunaanya :

pembersih vakum-menyedut habuk dari permaidani, kusyen dan sudut-sudut yang sukar dicapai.

penyapu rami-menyapu lantai yang licin seperti lantai ruang tamu, bilik tidur dan bilik makan.

tong sampah-mengisi sampah

penyapu lidi-menyapu taman dan halaman rumah.

kain pengesat-mengelap habuk dan kotoran.

bulu ayam-menyapu habuk di permukaan perabot atau cermin tingkap.

berus tandas-memberus mangkuk tandas.

berus siling-membuang habuk dan sarang labah-labah pada siling.
PEMILIHAN DAN PENGGUNAAN AGEN PENCUCI
1. Memilih dan menggunakan agen pencuci yang sesuai dan betul boleh menjimatkan masa dan tenaga.
2. Label kandungan dan arahan penggunaan pada agen pencuci perlu dibaca dengan teliti semasa memilih dan menggunakannya.
3. Semasa memilih agen pencuci, faktor-faktor berikut perlu diambil kira :
a) jenis permukaan yang hendak dicuci
b) tahap kekotorannya
c) pilih agen pencuci yang berkualiti
d) pilih agen pencuci yag mesra alam.
4. Terdapat pelbagai agen pencuci yang mempunyai lebih daripada satu fungsi, contohnya agen pencuci lantai, ia mempunyai lebih daripada satu fungsi, ia boleh digunakan untuk mencuci lantai, membasmi kuman, meninggalkan bau harum.
5. Penggunaan agen pencuci yang salah boleh merosakkan alat kelengkapan tempat kediaman.
6. Sebelum menggunakan agen pencuci, baca dengan teliti arahan dan peraturan pada label.
7. Ikut arahan dan peraturan yang dinyatakan pada label untuk mendapat kesan yang lebih baik dan efisien.
8. Simpankan agen pencuci di tempat yang selemat selepas digunakan, contohnya almari yang berkunci atau tempat yang tidak mudah dicapai oleh kanak-kanak.

pembasmi kuman-membunuh kuman.

sabun-menghilangkan kotoran pada permukaan seperti perabot, tingkap dan dinding.

detergen mangkuk tandas-menanggalkan kotoran yang degil pada mangkuk tandas dan juga berfungsi untuk membasmi kuman dan meninggalkan bau yang harum.

bahan peluntur-menghilangkan kotoran yang degil pada permukaan seperti lantai atau mangkuk tandas.

detergen lantai-membersih lantai dan juga berfungsi untuk membasmi kuman dan meninggalkan bau yang harum.
MEMBERSIH, MENGEMAS DAN MENGHIAS RUANG KEDIAMAN.
1 Kerja membersih, mengemas dan menghias ruang tempat kediaman adalah penting untuk menjaga kesihatan, meningkatkan kualiti hidup dan keselesaan ahli keluarga.
2. Kerja-kerja ini perlu dibuat dengan cara sistematik dan mengikut peraturan tertentu supaya tenaga dan masa dapat dijimatkan.
3. Tugasan ini perlu dilaksanakan oleh semua ahli keluarga. Dengan secara tidak langsung, kerja-kerja ini dapat memupuk nilai murni seperti bekerjasama, berdisiplin dan bertanggungjawab di antara kalangan ahli keluarga.
4. Kerja membersih ruang kediaman meliputi membuang habuk, menyapu lantai, mengelap lantai dan membuang sampah.
5. Habuk boleh dihilangkan dengan cara menyapu, menyebat, mengesat, mengirai dan menyedut.
6. Kerja mengirai alas meja atau menyebat hamparan dan alas kaki perlu dilakukan di luar ruang tempat kediaman.
7. Menyapu lantai juga perlu mengikut peraturan yang tertentu misalnya :
a) bermula menyapu dari hujung dalam bilik dengan menghala ke pintu.
b) berdiri di belakang penyapu dengan menyapu ke depan.
c) jangan mengangkat penyapu terlalu tinggi.
d) kumpulkan sampah-sarap dan masukkan ke dalam tadahan sampah.
e) buangkan sampah ke dalam tong sampah yang bertutup.
8. Berikut adalah peraturan membersih tempat kediaman :
a) matikan semua suis kipas
b) tutup atau simpankan semua makanan
c) gunakan alatan yang sesuai
d) gunakan agen pencuci yang sesuai supaya tidak merosakkan permukaan lantai dan alat kelengkapan tempat kediaman.
e) bersih ruang bahagian atas terlebih dahulu. Kerja-kerja seperti menbuang habuk pada sawang, kipas dan hiasan dinding perlu dilakukan dahulu.
f) kerja-kerja membersih ruang bahagian bawah seperti mengelap tingkap dan pintu, menyapu lantai, menvakum permaidani, dan mengemop lantai perlu dilakukan kemudian.
g) lapkan alatan dan kelengkapan dengan air suam bersabun dan kain pengesat yang lembut.
MENGEMAS RUANG TEMPAT KEDIAMAN.
1. Selepas kerja membersih, ruang tempat kediaman perlu dikemas supaya alat kelengkapan tempat kediaman tersusun dan kelihatan menarik.
2. Berikut adalah peraturan mengemas ruang tempat kediaman :
a) bukakan semua tingkap tingkap dan pintu untuk mendapat pengudaraan dan pencahayaan yang maximum.
b) susun dan kemaskan semua buku-buku, majalah-majalah, surat khabar dan alat permaian ke dalam almari atau di atas rak atau meja.
C) jemurkan permaidani, alas kaki dan hamparan yang telah divakum.
MENGHIAS RUANG TEMPAT KEDIAMAN
1. Pemilihan hiasan yang sesuai dan menarik boleh menambahkan keceriaan tempat kediaman.
2. Semasa menghias ruang tempat kediaman, perkara-perkara berikut perlu dipertimbangkan :
a) pilihkan hiasan yang sesuai dengan keperluan, kegunaan dan saiz ruang.
b) gunakan hiasan tambahan seperti alas meja, gubahan bunga, cermin dinding, bingkai gambar, lampu hiasan yang sesuai dengan saiz fungsi ruang.
C) pilihkan jenis dan bentuk lampu yang sesuai dengan fungsi ruang supaya dapat memberi pencahayaan yang mencukupi dan menambahkan keceriaan ruang.
3. Skema warna ruang perlu diambil kira. Warna hiasan tambahan seperti langsir, kusyen bergerak, gambar dinding, permaidani dan alas meja harus mempunyai skema warna yang sepadan supaya ruang kediaman kelihatan harmoni .

bilik tidur-Alatan hiasan yang sesuai adalah langsir, gubahan bunga, tumbuhan hiasan, lampu dinding, lampu meja dan permaidani.

ruang tamu-Alatan hiasan yang sesuai adalah langsir, gubahan bunga, tumbuhan hiasan, lampu dinding, lampu meja dan permaidani.

bilik mandi-alat hiasan yang sesuai adalah cermin dinding, gambar hiasan dan tumbuhan hiasan yang kecil.

ruang makan-alat hiasan yang sesuai adalah alas meja, gubahan bunga, gambar hiasan, langsir dan lampu hiasan.
MEMBUANG SAMPAH
1. Terdapat dua jenis sampah iaitu sampah berbentuk pepejal dan sampah berbentuk cecair.
2. Sampah yang berbentuk pepejal hendaklah dimasukkan ke dalam beg plastik, diikat dengan ketat dan dibuang ke dalam tong sampah tertutup.
3. Sisa makanan berbentuk cecair hendaklah dibuang ke dalam sinki atau longkang.
4. Sampah seperti daun kering boleh dijadikan bahan kompas dan digunakan sebagai baja tanaman.
5. Sampah-sarap seperti tin-tin kosong, botol kaca, bekas plastik dan kertas boleh dikitar semula.
6. Tong sampah perlulah sentiasa bertutup rapat supaya menjauhkan daripada lalat, lipas dan haiwan perosak.
7. Cucikan tong sampah dengan alat pembasmi kuman setiap hari dan dijemur.
MENCEGAH SERANGGA DAN HAIWAN PEROSAK
1. Ruang tempat kediaman yang bersih dan kemas boleh mengelak pembiakan serangga seperti lalat, semut, nyamuk, lipas, lipan dan haiwan perosak seperti tikus.
2. Kebersihan tempat kediaman hendaklah sentiasa dijaga.
3. Berikut adalah langkah-langkah mencegah serangga dan haiwan perosak.
a) makanan haruslah sentiasa ditutup dan disimpan dalam bekas yang bertutup atau diletak dalam almari.
b) alatan dapur seperti periuk belanga dan pinggan mangkuk haruslah dicuci selepas digunakan.
c) meja makan, almari, dan laci makanan mestilah sentiasa dibersihkan.
d) tong sampah mestilah sentiasa ditutup rapat.
e) saluran air buangan seperti longkang haruslah sentiasa dibersihkan supaya tidak tersumbat dengan daun kering atau sisa makanan.
4. Bahagian kimia atau racun digunakan untuk mencegah serangga dan haiwan perosak.
5. Fungsi setiap bahan kimia dan racun adalah seperti berikut :

racun tikus-digunakan untuk menghapuskan tikus.

racun serangga-digunakan untuk menghapuskan serangga seperti lalat, semut, nyamuk dan lipas.

ubat gegat digunakan untuk menghalang gegat daripada merosakkan pakaian.